Majlis Pertabalan sebagai Yang di-Pertuan Agong Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13

Pada hari Khamis 26 April 2007, Sultan Mizan ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong. Semua pekerja di sektor awam diberi pelepasan cuti sempena pertabalan ini. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengeluarkan pekeliling cuti umum kepada semua jabatan dan agensi kerajaan.[3] Namun, pihak swasta tidak diwajibkan bercuti.

Majlis itu yang berlangsung dalam suasana gilang-gemilang dan penuh adat istiadat Melayu dihadiri oleh Raja-Raja Melayu, pemerintah-pemerintah negara asing dan pembesar-pembesar dari dalam dan luar negara. Para jemputan mula hadir di Istana Negara sekitar pukul 8 pagi manakala Raja-Raja Melayu pula berangkat tiba kira-kira pukul 9 pagi. Majlis berakhir pukul 11.30 pagi.[3] Dalam majlis tersebut, baginda dipersembahkan Keris Panjang di-Raja - simbol kuasa dan kekuasaan - yang baginda hunus dan cium. Baginda berikrar memerintah dengan adil dan mempertahankan kedaulatan Islam.[4]